Program Haji Kids Kembara ke Baitullah, sebuah simulasi ibadah haji khas untuk kanak-kanak peringkat umur 3 hingga 12 tahun, mendapat pengiktirafan tinggi daripada YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, yang merasmikan program tersebut di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit.
Dalam kenyataan rasminya, beliau menyifatkan program anjuran Warnakala Studios bersama JAPERUN Duyong, Bahagian Promosi Pelancongan, dan Jabatan Ketua Menteri Melaka ini sebagai satu pendekatan pendidikan yang progresif dan sejajar dengan keperluan generasi masa kini.


Ab Rauf turut menyatakan harapannya agar para peserta dan sukarelawan di bawah bimbingan mutawwif dari Vacasia Tours & Travels memperoleh manfaat maksimum melalui sesi simulasi haji secara langsung, yang membuka peluang untuk pengukuhan silaturahim antara anak-anak, ibu bapa dan tenaga pengajar.
Apa yang lebih membanggakan, program ini berjaya menghimpunkan lebih 1,500 penyertaan kanak-kanak, bukan sahaja dari negeri Melaka, malah mendapat sambutan luar biasa dari keluarga yang datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Inilah yang kita mahukan selari dengan aspirasi Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025 (World Tourism Day 2025) yang bakal menghimpunkan lebih 155 Menteri Pelancongan dari seluruh dunia dalam satu acara berskala antarabangsa bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’,” tambah beliau.