Pelakon dan penyanyi, Alif Satar menegaskan pentingnya pendidikan seksual untuk kanak-kanak terutama dalam situasi sekarang.
Jelas Alif, 34, dia juga antara individu yang sentiasa risau dan prihatin terhadap situasi semasa khususnya yang membabitkan golongan kanak-kanak.
“Saya rasa pendidikan seksual itu sangat penting.
“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah dunia hari ini sangat mencabar. Kita dapat melihat sendiri pelbagai propaganda dan media Barat yang bercanggah dengan ajaran agama kita.
“Apa-apa pun, saya sememangnya berpegang teguh kepada Tuhan. Saya memang mendidik anak-anak saya sendiri dan memberitahu mereka apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya kepada Gempak.
Tambahnya lagi, sebagai bapa kepada tiga cahaya mata, dia mengakui masih risau tentang jenayah membabitkan pedofilia.
“Jadi, saya sebagai seorang ayah, saya berasa sangat protective dan sangat merisaukan dengan keadaan sekarang ini.
“Sebab orang jahat ini, mereka mempunyai aplikasi sendiri yang membolehkan mereka menghubungi orang lain dan kita pun tidak tahu siapakah mereka disebalik akaun maya tersebut.
“Kita perlu mengajar mereka tentang perkara ini,” jelasnya.