Wakil kepada Datuk Awie, Mubarak Akhtar memberitahu penyanyi rock legenda tersebut dipanggil untuk memberi kenyataan hari ini.
Katanya, Awie juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang tular menerusi satu video pendek, sejak semalam.
Tambah Akhtar penganjur, LaCrista Hotel juga akan dipanggil untuk memberi kenyataan hari ini.
"Pihak kami akan dipanggil untuk memberikan kenyataan selewat-lewatnya esok. Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya.
Video berdurasi 42 saat yang mencetuskan kontroversi itu diambil di majlis berbuka puasa yang menjadi sebahagian daripada acara Misi Kemanusiaan Datuk Awie Bersama Sayap-Sayap Wings yang berlangsung di Melaka pada 7 Mei lalu.
Acara itu berlangsung bagi merai dan memberi sumbangan kepada komuniti penarik beca yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan juga beberapa fasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sumber: Harian Metro