Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, di sini, malam tadi.
Perkara itu disahkan pentadbir laman Facebook rasmi beliau dalam satu kenyataan, malam pada Ahad.
"Allahyarham pergi dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya," katanya di laman Facebook itu.
Katanya, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.
Allahyarham yang berusia 76 tahun, meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.
"Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam," katanya.
Sumber Astro Awani