Menyentuh isu ini, pendakwah, Ustazah Asma’ Harun memberi pencerahan mengenai hukum menyambut Tahun Baharu Cina dan perkara-perkara berkaitan dengannya.
Katanya, perayaan Tahun Baharu Cina merupakan sambutan tahun baru masyarakat Cina dan ia tidak melibatkan perayaan agama.
“Hukumnya (menyambut Tahun Baharu Cina) ialah dibolehkan jika ada keperluan.
“Perayaan ini menjadi penanda aras suatu hubungan antara Muslim dengan golongan bukan Muslim. Syaratnya, kita tidak sekali-kali reda terhadap akidah mereka dan sambutan ini hanya sebagai tanda persahabatan serta atas dasar kemasyarakatan semata-mata," jelasnya.
Namun, perlu diingatkan, saudara baru (mualaf) yang meraikan sambutan ini perlu diniatkan atas dasar menziarahi, menghormati dan memuliakan keluarga sahaja, bukan meraikannya sebagai satu perayaan kerana pada dasarnya sambutan ini bukan sambutan perayaan umat Islam.
Menyentuh mengenai makanan ‘Yee Sang’, beliau memberitahu hidangan yang mencampurkan tujuh jenis warna makanan yang berlainan itu dibolehkan untuk memakannya bagi umat Islam dengan syarat.
“Dibolehkan untuk menjamah apa-apa makanan yang dihidangkan selagi tidak disediakan menggunakan bahan yang haram seperti arak, babi dan bentuk najis yang lain.
“Sungguhpun begitu, ia harus dielakkan sekiranya tidak mendatangkan keperluan yang penting seperti individu yang tidak mempunyai kawan berbangsa Cina atau seumpamanya.
“Perlu juga dipastikan hal-hal berkaitan peralatan masakan dan (bahan) makanan yang digunakan supaya tidak digunakan peralatan yang sama untuk makanan yang haram,” katanya.
BERITA TRENDING: Giliran Ustazah Asma’ Harun Tegur Aksi ‘Soft Porn’ Pasangan Selebriti - “Itu Perbuatan Maksiat Yang Berat!”
Bagaimanapun katanya, makanan terbaik adalah yang dimasak oleh orang Islam dan yang diyakini bahan serta cara penyediaannya.
Ujarnya, ucapan Gong Xi Fa Cai yang membawa maksud ‘Tahniah dan semoga mendapat rezeki’ juga dibolehkan kerana tiada percanggahan yang melibatkan akidah Islam.
Sumber: Sinar Harian
