Pelakon, Nelissa Nizam menegaskan dia mahu membina nama dalam industri seni lakonan dengan usaha dan bakat sendiri, bukan kerana kontroversi yang terpalit atas dirinya.
Jelas aktres yang berusia 27 tahun itu, perjalanan sebagai anak seni bukan sekadar mengejar populariti, tetapi lebih kepada sebuah maraton yang memerlukan mereka bekerja keras serta perancangan yang teliti dalam membina nama mereka.
"Bagi saya, dalam industri lakonan ini kita macam maraton. Kita kena bekerja keras untuk naikkan nama melalui bakat sendiri.
Malah, Nelissa percaya perjalanan karier yang perlahan dan konsisten itu adalah lebih baik berbanding menggunakan jalan pintas seperti mencipta kontroversi atau melakukan perkara tidak sepatutnya hanya untuk meraih perhatian.
"Saya percaya kalau kita betul-betul berbakat dan bekerja keras, orang akan nampak usaha kita. Populariti itu akan datang dengan sendirinya tanpa perlu cari jalan singkat," jelasnya.
Terdahulu, ibu kepada pelakon Nelissa Nizam, iaitu Ayu Manaf, menafikan pendedahan yang dilakukan oleh aktres tersebut mengenai kisah remajanya yang dikatakan pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Baru-baru ini, Nelissa menyatakan kontroversi bersama ibunya itu sudah berakhir dan kini mereka sudah kembali baik seperti sedia kala.