Usahawan kosmetik popular Pulau Pinang, Cheta Potpet menyediakan sejumlah RM20,000 duit raya untuk dikongsikan kepada tetamu yang hadir pada rumah terbukanya yang diadakan di ibu pejabat Secret Desire, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Duit raya itu kata Cheta atau nama sebenarnya Rozita Baharom, 35, disimpan dalam sebuah peti khas, khusus untuk diagihkan kepada tetamu yang hadir pada rumah terbuka mereka tahun ini.
"Alhamdulillah selepas dua tahun kita tak boleh nak anjurkan majlis rumah terbuka, kali ini kita berpeluang untuk menikmati kembali suasana berhari raya meskipun kena berjaga-jaga.
"Kali ini saya lepas geram, buka terus sembilan khemah untuk raikan tetamu yang datang. Pada masa sama kita belanja mereka dengan tawarkan harga runtuh produk Secret Desire yang terpilih.
"Saya sedar, yang datang pun ada yang bukan pengguna produk saya, jadi inilah masanya untuk memperkenalkan kepada mereka yang mahu mencuba.
"Saya pun tak boleh nak jangka berapa ramai yang hadir sebab kita beri peluang kepada semua untuk datang. Selagi ada makanan, selagi itu kita jamu makan.
"Suami pun sokong cara begini, syukur... dapat sediakan duit raya sekitar RM20,000 untuk diagihkan kepada tetamu yang bawa anak-anak. Memang kami sediakan satu peti khas, untuk duit raya saja.
"Begitulah sebenarnya setiap tahun pun cuma tahun ini Allah beri rezeki lebih. Tak salah pun saling berkongsi. Harap majlis sebegini boleh diteruskan lagi," katanya.