Sekitar penghujung Mac lalu, nama MK K-Clique menjadi bualan dalam kalangan netizen apabila video yang menampilkan penyanyi itu meminta seorang peminat membuka rantai yang ada di lehernya viral di laman TikTok.
Menerusi video berkenaan, kelihatan seorang wanita berhijab yang dipercayai peminat kepada MK menanggalkan rantai berkenaan dalam keadaan yang terketar-ketar.
Rakaman tersebut mengundang pelbagai reaksi dan ada antaranya yang mengecam perbuatan yang dianggap kurang manis itu.
BACA: Peminat Wanita Terketar-Ketar Tolong Bukakan Rantai Leher MK K-Clique
Namun, menurut MK, tindakannya meminta wanita berkenaan menanggalkan rantai tersebut adalah tidak lebih sebagai apresiasi terhadap peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini.
“Ketika itu, saya baru pertama kali beraksi di atas pentas selepas lama tidak menerima undangan persembahan akibat pandemik. Jadi, saya nervous dan tak tahu nak handle crowd macam mana.
“Jadi, bila saya naik pentas, saya perasan ada seorang peminat perempuan ni memanggil nama saya berulang kali, seolah-olah dia beri semangat kepada saya. Jadi, saya cadang nak bagi dia rantai yang saya pakai.
“Rantai itu emas betul dan susah nak ditanggalkan. Jadi, untuk tunjukkan penghargaan saya terhadap peminat, saya suruh dia yang bukakan,” katanya kepada Gempak.