Sebelum ini kecoh di platform Thread apabila ada pengguna yang melihat pelakon Edika Yusof meninggalkan komen ringkas ‘Hi’ pada beberapa buah foto wanita yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Tidak pernah berlaku curang sepanjang 22 tahun berkahwin, Edika bagaimanapun menjelaskan dia menegur model tersebut hanya bertujuan untuk mencari peluang berkolaborasi menerusi produk penjagaan kulit.
“Kita ada buat produk penjagaan kulit. Bekas isteri saya tidak tahu macam mana untuk berinteraksi dengan model antarabangsa. Jadi, saya menyapa dengan Hi untuk kolaborasi dengan mereka.
“Kalau mereka ada beri respons, baru saya akan lanjutkan dengan kolaborasi itu. Kalau saya curang, buat apa saya mahu buat secara terbuka di media sosial.
“Saya memang tidak pernah ada rekod curang. Telefon ini pun bekas isteri dan anak boleh buka,” katanya kepada Gempak.
Apa yang menarik perhatian ramai adalah komen Edika Yusof bertarikh 23 September 2024 di ruangan balas, yang dipercayai dibuat tanpa menyedari wanita tersebut bukan manusia sebenar.
Akaun digodam
Dalam pada itu, pelakon berusia 58 tahun ini memberitahu akaun Thread miliknya itu sudah digodam dan dia juga sudah lama tidak menggunakan platform tersebut.
“Akaun saya memang kena godam… ikutkan dah enam ke tujuh bulan juga kena godam. Tapi baru-baru ini katanya akaun saya itu masih aktif.
“Saya pun tak ingat bila kali terakhir saya aktif guna akaun itu. Sebab saya hanya aktif di IG dan TikTok saja tapi itu pun saya kongsikan perkara yang penting saja,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, Edika sudah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya iaitu Nor Hidayah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur.