Pelakon Ikmal Amry mengakui dirinya tidak selesa melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita.
Menurut pelakon kacak itu, biarpun punyai prinsip sedemikian, dia harus melaksanakan tugasanya sebagai pelakon untuk menjayakan sesuatu watak yang dipertanggungjawabkan.
“Sebenarnya saya tidak boleh bersetuju dengan perkara ini sebab apa yang saya lakukan ini adalah salah. Salah tetap salah tapi itulah cara saya untuk memberi rasa dengan menjayakan watak tersebut,” katanya kepada Gempak.
Ikmal Amry berkata demikian ketika menghadiri jemputan ke Majlis Tayangan Perdana 2 Episod Akhir Viu Original- From Saga With Love 2 di Colony Star Boulevard KLCC, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dia sebelum ini pernah berbincang dengan pengarah untuk tidak melakonkan babak yang melibatkan sentuhan.
“Saya ada bincang dengan pengarah untuk melakukan aksi berpelukkan. Sebenarnya saya ada pemikiran dimana bila saya lakukan aksi macam ini, apa yang akan terjadi?
“Saya sebagai seorang pelakon, saya cuba untuk lakukan sesuatu yang baru,” jelasnya.
Meskipun memegang status sebagai suami, Ikmal memberitahu bahawa isterinya, Najla Shamsul, adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan kerjayanya sebagai pelakon.
“Sebenarnya isteri saya adalah pengurus saya. Jadi, apa tawaran yang saya dapat, dia adalah orang yang pertama akan baca dahulu skrip tersebut.
“Selepas dia baca semua skrip saya, dia akan memberitahu saya siapa pelakon yang terlibat dan akan meminta persetujuan saya jika saya boleh lakukan atau tidak watak tersebut,” ulasnya.