Bapa kepada bayi yang dibekukan selama 16 hari, Safwan Roshdy memaklumkan isterinya kini dalam keadaan tertekan selepas insiden yang berlaku terhadap arwah anak mereka.
Sukar untuk tidur tiap malam, Safwan turut memaklumkan dia terpaksa merahsiakan identiti isterinya bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk berlaku.
"Keadaan isteri saya memang agak teruk sekarang ini, hinggakan saya ambil keputusan supaya tidak mahu mendedahkan dia kepada umum. Cukuplah saya seorang. Biarlah dia berehat," katanya kepada Gempak.
Safwan yang kecewa dengan kejadian itu mengharapkan agar ada pembelaan buat puteranya, Muhammad Adham Mikail.
"Dimana nilai kemanusiaan?
"Sehingga hari ini memang pihak hospital tiada berjumpa dengan saya untuk memohon maaf atau menerangkan keadaan sebenar. Malah pihak hospital mengutuk isteri saya kerana melahirkan anak tidak sempurna," katanya sugul.
Kes kematian adik Muhammad Adham Mikail mula mendapat perhatian apabila jenazah bayi itu ditahan sehingga 16 hari di sebuah hospital swasta gara-gara si ayah gagal membayar bil hospital berjumlah RM3,600.
Pendedahan mengenai perkara itu dibangkitkan oleh aktivis sosial Malaysia, Wan Cai melalui satu hantaran di Facebook beliau.