Penyanyi dan komposer, Datuk M Nasir berpendapat isu hak cipta lagu melibatkan komposer Man Senoi, Mama Rap dan kumpulan 4U2C boleh diselesaikan dengan cara rundingan.
Menurut M Nasir, pertikaian seperti ini wajar diselesaikan dengan perbincangan yang baik agar tidak memudaratkan mana-mana pihak.
“Bagi saya perkara ini perlu dibawa berbincang.
“Jadi, biarlah perkara ini selesai dahulu melalui perbincangan,” katanya kepada Gempak.
M Nasir berkata demikian ketika menghadiri majlis sidang media Konsert Cipta 3 yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Isnin.
Tambahnya lagi, setiap komposer mempunyai kuasa terhadap karya ciptaan mereka, namun, sebarang penggunaan lagu oleh penyanyi akan melalui saluran rasmi seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) yang menguruskan bayaran royalti dan lesen.
“Biasanya, penyanyi tidak perlu berunding secara langsung kerana penggunaan lagu diuruskan melalui MACP dan bayaran akan dikenakan.
Meskipun perkara ini sudah berada di peringkat undang-undang namun, penyanyi lagenda itu berharap agar isu tersebut dapat dirunding dengan cara yang terbaik.
“Benda ini sudah dibawa ke peringkat undang-undang. Rundingan adalah penyelesaian terbaik,” ujarnya.
Terdahulu, Man Senoi dan Mama Rap mendakwa bahawa mereka tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan penganjuran konsert 4U2C yang dijadualkan berlangsung pada 15 September ini.
Menerusi sebuah laporan akhbar, pasangan itu turut mempersoalkan bagaimana kumpulan yang ditubuhkan oleh mereka tersebut mahu mengadakan konsert memandangkan rata-rata lagunya adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.
Konsert WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event akan menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.