Hanya beberapa jam selepas meminta ibu bapanya diminta berjumpa dan memohon maaf, pempengaruh sensasi, Imran Bard akhirnya tampil memberikan respons terhadap kenyataan pelakon senior, Ellie Suriaty.
Menurut Imran, yang kini berada di kampung halamannya, dia tidak menyangka kandungan video yang dibuatnya menjadi isu besar sehingga mengundang reaksi daripada pelakon veteran tersebut.
"Sekarang saya di kampung, tiba-tiba naik isu Ellie Suriaty suruh mak ayah saya minta maaf. Saya tak sangka perkara ini boleh jadi masalah besar.
Dalam masa sama, Imran turut berkongsi ibunya kini sedang dirawat di sebuah hospital dan tidak berada dalam keadaan sihat untuk tampil meminta maaf seperti yang diminta oleh Ellie.
"Isunya taklah besar mana, tapi sampai libatkan mak ayah saya. Saya minta maaf. Cuma, mak saya sekarang dalam wad. Jadi, dia tak boleh nak minta maaf sebab banyak wayar di badan dia di hospital.
Terdahulu, pada petang Khamis, Ellie mengadakan sidang media bagi meluahkan rasa kurang senang terhadap kandungan video yang dihasilkan Imran, yang didakwa telah mencemarkan namanya.
Dalam video tersebut, Imran berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian dan menyebut nama Ellie, selain mengaitkannya dengan bahan terlarang.
Ellie juga menegaskan bahawa dia sudah membuat laporan polis dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman jika keadaan memerlukan.