Penyanyi popular, Datuk Jamal Abdillah bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat pelaburan yang didakwa gagal melunaskan bayaran dividen dan mengembalikan wang pelaburan yang telah dilaburkan kepadanya.
Menurut Jamal, dia telah pun melantik peguam bagi mewakili dirinya untuk menuntut haknya kembali daripada syarikat berkenaan.
“Sekarang ini saya sudah lantik peguam. Peguam pun sudah membuat siasatan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan bukti telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Sebenarnya kes itu saya tak boleh hurai banyak-banyak. Saya cuma boleh kata saya ada buat pelaburan, tapi sebelum itu saya sudah periksa dekat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara. Memang ada syarikat itu.
“Awalnya saya melabur RM1 juta dan mendapat pulangan sebanyak 12 peratus setahun. Selepas itu saya masuk lagi RM1 juta jadi RM2 juta.
“Tempoh matang lima tahun tetapi malangnya tahun ketiga itu dia (syarikat pelaburan) sudah tidak bagi dah. Pelbagai alasan diberikan termasuk tidak dapat memberi pulangan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan wabak COVID-19),” ujarnya pada Majlis Pelancaran Lagu Ketagih Cherry On Top di Hotel Ideas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon filem Azura itu turut memberitahu yang syarikat berkenaan bukanlah syarikat ‘scammer’.
“Untuk keselamatan, saya pasang peguam untuk saman mereka. Bukan saya sahaja terkena, ramai juga pihak lain terlibat.
“Ini bukan scam sebab syarikat itu memang wujud dan masih berjalan. Sekarang semuanya dalam proses, pihak sana juga berhubung melalui peguam saya. Zaman sekarang ini mahu buat apa-apa kena berhati-hati,” dakwanya lagi.
Terdahulu, pada awal 2018, Jamal Abdillah diperkenalkan oleh seorang ejen kepada satu skim pelaburan dan dijanjikan pulangan 12 peratus setahun.
Antara 2018 sehingga 2020, Jamal membuat empat kali pelaburan dengan melaburkan sejumlah RM2 juta dalam syarikat berkenaan.
Namun, katanya, sehingga hari ini, syarikat pelaburan berkenaan gagal membuat pembayaran dividen bagi pendapatan tahunan secara menyeluruh dan secara langsung sudah melanggar perjanjian dan terma yang sudah dipersetujui.
Sebelum ini juga, Jamal menerima satu memo bertarikh 4 Januari 2023 yang dikeluarkan oleh syarikat pelaburan menyatakan sudah tiada keupayaan membayar pulangan sasaran tahunan pelaburan kerana keuntungan syarikat terjejas disebabkan penularan COVID-19.
Sumber foto: MalaysiaGazette