Menurut Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, dia tetap akan memberi bantuan dari segi kewangan biarpun Zaki memilih untuk membayar sendiri yuran pengajian tersebut.
"Sebagai seorang ayah yang tak mahu mengeruhkan keadaan dan bersabar. Saya ada tanya dia tentang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tiada jawapan.
"Saya dengar dia mahu melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA tetapi mungkin tak boleh sebab dia perlu mahir bermain alat muzik.
Tambah pelantun lagu Sandarkan Pada Kenangan itu lagi, dia enggan mencampuri urusan kursus pengajian yang dipilih Zaki sebaliknya sentiasa menyokong minat Zaki termasuk untuk menyambung pengajian dalam bidang muzik.
"Saya ada dengar tentang Zaki sambung belajar daripada datuk dan nenek dia. Saya sendiri pun tak dapat khabar berita daripadanya.
"Saya faham situasi ini, rumah dan ibu lain. Jadi untuk tidak merumitkan keadaan dan enggan dia stres atau tertekan, saya biarkan.
Terdahulu, Zaki mendedahkan dia sanggup berhabis sebanyak RM40,000 untuk menyambung pengajiannya dalam bidang muzik di sebuah universiti swasta.
Malah, dia juga tidak berkongsi mengenai perkara itu kepada bapanya.