Proses lanjutan reman ibu bapa Zayn Rayyan, bertukar kecoh apabila ahli keluarga mereka menjerit dan melaungkan kata-kata semangat antaranya "Jangan jadi kambing hitam, Isma, Zain Strong”.
Datuk kanak-kanak itu, Zahari Mohd Reba turut sama hadir bersama ahli keluarganya berkumpul di luar mahkamah dan memegang kain rentang bertulis ‘Keadilan untuk Zaim, Isma serta keadilan buat Zayn Rayyan’.
Terdahulu pasangan itu yang memakai baju lokap berwarna ungu, dibawa ke mahkamah pada jam 9.30 pagi, selepas tempoh reman tujuh hari bermula 1 Jun lalu, tamat pada Jumaat.
Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Sumber: Sinar Harian