Jihad Datin Norlina Alawi membesar dan memberikan pendidikan kepada puluhan anak angkatnya termasuk yang menghidap HIV/AIDS tidak pernah terhenti.
Malah, kehilangan anak angkat yang dijaga sejak 17 tahun lalu yang dipanggil Mak Jang baru-baru ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam bagi pengasas Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia ini.
Luluh hati Norlina apabila wajah arwah Mak Jang atau nama sebenarnya Siti Noor Hatika Abdul Rahman, 25, sehari sebelum meninggal dunia dikaburkan menerusi laporan media tempatan yang sekaligus meletakkan satu stigma buat anak-anak yang menghidap HIV/AIDS.
"Mak Jang merupakan anak empat keempat saya yang telah meninggal dunia. Selepas dua tahun menjaga arwah, saya ambil dia sebagai anak angkat yang sah. Saya mula menjaga arwah sejak berusia 7 tahun hingga sekarang, 25 tahun...
"Dia penghidap HIV yang berjangkit dari orang tuanya. Dia punyai seorang abang yang berusia 28 tahun yang baru habis belajar kejuruteraan elektronik di sebuah universiti tempatan.
"Saya mahu tukar darjat anak-anak anugerah ini ke darjat lebih tinggi. Maksudnya kalau dulu anak yatim piatu yang tiada apa-apa, sekarang mereka anak-anak saya.
"Saya sayang mereka macam anak sendiri, nyawa saja yang tak boleh saya berikan. Saya memang menjaga aib mereka, sebab itu saya sedih sehari sebelum meninggal dunia keluar berita wajahnya dimozekkan. Saya terperanjat.
"Arwah sudah setahun tidak pakai tudung apabila menghidap strok, buta dan hilang ingatan. Dia sudah tak faham apa pun...
"Di situlah stigma, bila wajah dikaburkan. Bila nak bantu tak ada masalah, cuma cara itu saya agak terkilan... Esoknya anak itu meninggal dunia.
"Saya maafkan benda sudah terjadi. Bila anak-anak saya membaca, mereka pun agak terkilan. Mak Jang hidap HIV dari ibu bapa dia, bukan dia yang berdosa," luahnya kepada Gempak.
Stigma
Akui Norlina, hatinya terguris dan beremosi apabila melihat wajah anak yang disayangi diperlakukan sedemikian, meskipun ada yang menganggap tujuan wajah dikaburkan demi menjaga sensitiviti dan maruah pesakit.
"Tiga orang anak saya meninggal dunia ketika baru berusia 11 tahun, Mak Jang yang paling lama hidup hingga 25 tahun.
"Jujurnya, ibu mana tak emosi kalau bukan fakta diviralkan. Saya sendiri pun berhati-hati dalam berkongsi fakta.
"Saya sensitif bila mereka disebut sebagai anak angkat kerana saya sudah jadikan mereka sebahagian daripada anak-anak saya. Saya nak status dia macam anak biasa.
"Sebagai seorang ibu yang bukan lahir dari rahim saya, tapi sifat keibuan Norlina Alawi tinggi untuk anak-anak seperti ini.
"Saya menjadi mulut dan jiwa mereka. Saya faham apa yang mereka lalui selama ini. Saya tak mudah melatah atau emosi, bila bercakap pasal anak saya perlu tegas!
"Saya nak hilangkan stigma, dia macam anak saya. Stigma itu kita yang buat, kita takut pada dia. Sebenarnya kita takut pada diri kita.
"Saya dah bela anak kepada pesakit HIV Aids lebih 20 tahun. Sebab itulah ilmu itu penting, orang yang takut pada bayang-bayang sendiri.
"Cuba bayangkan kalau dah terkena pada keluarga kita sendiri, takkan kita nak bunuh dia, tanam dia hidup-hidup? Kita bukan di zaman jahiliah.
"Kuman HIV tak merebak sewenang-wenang seperti COVID-19. Orang pandang hina pesakit HIV Aids kerana ia berjangkit dari benda tak baik seperti dadah dan seks bebas. Hal yang mengaibkan. Manusia yang buat stigma... Tak payah kaburkan pun, tak perlu tutup. Ada kata nak jaga maruah, itulah stigmanya," tegas Norlina lagi.
Viral
"Kalaulah Boleh Saya Berikan Nyawa Saya Sendiri..." - Norlina Alawi