Sementara itu, peguam kepada pihak penganjur Juzz Events, Carlos Mak Chuen Yuan memaklumkan tindakan tegas akan diambil sekiranya permohonan maaf tidak dibuat oleh pihak yang menyebarkan maklumat palsu.
“Kami telah memperoleh semua lesen dan permit yang berkaitan daripada pihak berkuasa untuk menganjurkan konsert ini.
“Malangnya, kami telah menemui beberapa kenyataan tidak benar yang dibuat oleh pihak ketiga, iaitu pelaku salah, terhadap kumpulan ini yang anda semua mungkin telah lihat baru-baru ini.
“Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan kenyataan-kenyataan tidak benar seperti ini.
“Oleh itu, kami dengan ini menuntut agar pelaku salah membuat permohonan maaf secara terbuka melalui media dan kepada umum dalam tempoh 24 jam dari sekarang.
“Sekiranya pelaku salah gagal membuat permohonan maaf rasmi ini, kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, AC Mizal turut menjelaskan permohonan maaf itu perlu dibuat segera kerana baginya, sebarang kenyataan tidak sahih boleh menjejaskan momentum acara yang dirancang.
Bagaimanapun, AC Mizal turut bersyukur kerana sambutan yang diterima bagi konsert tersebut setakat ini cukup memberangsangkan.
“Biar saya jelaskan kenapa kami membuat tuntutan secara terbuka melalui pihak media.
“Sebab sekarang kami berada dalam fasa penjualan tiket, dan setiap 24 jam adalah waktu yang sangat penting buat kami.
“Jadi, kepada individu-individu yang telah saya sebutkan sebelum ini, terpulang kepada mereka untuk memberikan maklum balas.
“Seperti yang dinyatakan oleh peguam kami tadi, kepada mana-mana pihak yang akan datang dan turut menyebarkan berita atau laporan yang tidak sahih, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
“Kerana ia memberi kesan kepada penjualan tiket. Namun Alhamdulillah, setakat ini penjualan tiket berjalan lancar. Kira-kira 70 peratus tiket telah terjual, Alhamdulillah konsert masih on.
“Tetapi, apa yang kami harapkan adalah agar orang ramai datang menyaksikan konsert ini dengan fikiran yang tenang. Datang untuk berhibur,” katanya.
Kontroversi berkaitan konsert 4U2C mula tercetus apabila komposer Man Senoi dan isteri, Mama Rap dilapor mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran WE 4U2C Live In Concert biarpun mereka memiliki sepenuhnya hak cipta lagu-lagu kumpulan hip hop popular era 1990-an itu.
Man Senoi dilapor mempersoalkan bagaimana 4U2C hendak mementaskan konsert jika 25 lagu yang dirakam adalah adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.
Konsert WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event yang menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam, akan dipentaskan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September depan