Sebanyak 190 unit rumah, 148 kereta dan 11 motosikal mengalami kerosakan akibat kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, setakat jam 3.40 petang, pemadaman kebakaran masih dilakukan dan api hampir padam.
"Kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan kebakaran rumah juga sedang dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi, Selasa.
Balai bantuan turut terlibat ialah BBP Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara dan BBP Damansara, BBP KLIA dan BBP Serdang.
Kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.
Sumber: Sinar Harian