Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan yang dia telah berjaya meraih RM55,000 menerusi misi larian Langkah Muar sejauh 200 kilometer (km) yang dimulakan semalam.
Menerusi hantaran di Instagram, Syed Saddiq berkata yang dana tersebut berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh 24 jam.
“Ramai yang sanggup tunggu di tepi jalan. Dari yang tua ke yang muda. Berbilang bangsa dan agama.
“Bila kaki nak cramp, dengar sahaja sorakan sahabat semua… hilang terus cramp dan semangat naik semula. You guys are seriously amazing!” tulisnya.
Pada Khamis, Syed Saddiq memaklumkan misi Langkah Muar diadakan sebagai tanda protes berhubung isu peruntukan kepada pembangkang.
Menurut beliau, dana yang diraih itu nanti adalah bagi membiayai pembukaan dan operasi pusat khidmat rakyat Parlimen Muar, serta pembelian bakul makanan, tablet dan laptop.
Larian sejauh 200km dari Muar ke Parlimen itu dijangka berakhir pada Isnin.