Lagu Nirmala merupakan antara lagu ikonik yang pernah dirakam dan diluncurkan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Lagu yang dimuatkan dalam album Sahmura itu tidak hanya popular di Malaysia, malah negara seberang Indonesia dan juga Singapura.
Masih kerap distrim khususnya oleh peminat, lagu hasil ciptaan Allahyarham Pak Ngah itu juga trending di platform perkongsian video TikTok. Namun, lagu berkenaan popular di platform TikTok disebabkan oleh hal yang berbeza.
Menerusi video-video yang dimuat naik menggunakan lagu Nirmala, pengguna TikTok menunjukkan mimik muka dan tarian mengghairahkan, tidak sepadan dengan bait-bait lirik bermaksud baik hasil tulisan Che’Kem itu.
Melihat ia sebagai satu hal yang tidak elok, anak kepada Allahyarham Aziz Desa iaitu Zhiddin Aziz mengkritik tindakan pengguna media sosial yang tergamak melakukan trend tersebut, terutama dalam kalangan pengguna wanita.