Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni turut mengesahkan Neelofa ke pulau peranginan atas tujuan kerja.
"Hasil semakan mendapati borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan pergerakan keluar empat individu itu bermula 27 Mac hingga 4 April untuk urusan kerja.
"Syarikat terbabit mengemukakan surat tertera nama Neelofa dan tiga yang lain sebagai mewakili mereka untuk melawat lokasi perniagaan yang akan dibuka di sana," katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya terbukti Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis boleh mengambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Isnin lalu, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail berada di Langkawi tular di media sosial dengan dakwaan mereka berbulan madu.