Pelakon drama rantaian popular Hati Yang Dikhianati, Zaki Azeman, 28, telah selamat melangsungkan pertunangan dengan pilihan hatinya, Raa Suzuran, 23, pada 2 Februari lalu.
Majlis berlangsung selepas waktu Zohor di kampung halaman Raa di Kota Bharu, Kelantan dan hanya dihadiri keluarga serta kenalan rapat.
Kata Zaki atau nama penuh, Muhamad Zaki Azeman, majlis pernikahannya bersama adik kepada selebriti media sosial, Jaa Suzuran dijangka akan berlangsung selepas hari raya Aidilfitri nanti.
"Kami pilih tarikh 2.2.22 sebab angkanya cantik untuk diingati.
"Insya-Allah kami merancang untuk mendirikan rumah tangga selepas raya nanti," katanya.