Pelakon Putra Amaris meluahkan rasa syukur apabila Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Keramat akhirnya menerima dua kenderaan jenis Multi-Purpose Vehicle (MPV) untuk kegunaan harian pelajar.
Sumbangan ini diterima daripada seorang pemuda yang berhati mulia, menjawab doa anak-anak tahfiz yang selama ini hanya bergantung kepada kereta arwah ayah Amaris untuk bergerak ke masjid dan menjalani aktiviti harian.
Menurut Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail, 40, dia tidak menyangka pusat tahfiz terbabit akhirnya memiliki kenderaan rasmi bagi kegunaan harian pelajar.
"Alhamdulillah, rezeki tahun ini cukup baik. Anak-anak tahfiz ini selalu tanya saya bila mereka boleh dapat van untuk ke masjid.
"Selalunya mereka menggunakan kereta arwah ayah saya untuk bergerak ke mana-mana.
"Tak sangka doa kami dimakbulkan apabila kami menerima dua buah MPV daripada seorang anak muda lingkungan 30-an," ujarnya kepada Gempak.
Amaris berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Program Kongsi Rezeki Infaq Ramadan 2025 #SamaSamaKenyang pada Selasa.
.jpeg)
Menurut Amaris, kanak-kanak di pusat tahfiz tersebut telah menggunakan kenderaan itu sejak beberapa bulan lalu dan ia benar-benar memberi manfaat kepada mereka.
"Kita doakan semoga hamba Allah yang menginfaqkan dua buah kereta ini diberikan rezeki yang luas.
"Saya memang mengenali rapat pemberi ini, orangnya sangat baik. Sebelum ini kami ada mohon bantuan kepadanya.
"Alhamdulillah, mereka sudah menggunakan kereta itu beberapa bulan lalu. Saya gembira melihat mereka tersenyum dan gembira," tambahnya.