Seramai tujuh orang ikon popular tempatan bakal berangkat ke Tanzania, Afrika Timur bermula 6 Julai sehingga 19 Julai ini bagi menyertai Misi Kemanusiaan Afrika anjuran Pertubuhan Impak Prihatin Malaysia atau Impactive Malaysia (IM).
Mereka terdiri daripada barisan selebriti, personaliti TV, usahawan dan bintang media sosial iaitu Hazeman Huzir, Farah Lee, Nadzmi Adhwa, Akhi Fairuz, Que Yahaya, Nazirul dan juga personaliti korporat iaitu Aiman Hakim dari Isosynergy Holdings Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Impactive Media, Mohamad Khairul Jamain atau dikenali sebagai KJ berkata, program kemanusiaan ini membawa misi dalam membantu masyarakat Islam di Tanzania yang sering ditindas dan terpinggir.
Umat Islam Tanzania
Katanya, seramai 446 juta dari 1.02 billion penduduk di Afrika adalah beragama Islam. Manakala Tanzania adalah sebuah negara di benua Afrika yang merangkumi 34.1% masyarakat beragama Islam.
“Berbeza sekali dengan negara yang majoritinya adalah beragama Islam, masyarakat Islam di Tanzania sering dipinggirkan dan tidak mendapat perhatian.
“Menerusi kunjungan ke Tanzania itu nanti, kami akan berkunjung ke 2 buah daerah utama yang akan menjadi sasaran untuk misi kami kali ini iaitu di Handeni dan juga Kilendi.
“Daripada informasi yang kami terima daripada rakan kerjasama kami iaitu Islamic Help, mereka menyatakan bahawa dua daerah ini adalah yang paling miskin dan sangat memerlukan bantuan di Tanzania.
“Justeru, Tanzania menjadi lokasi sasaran kerana kurangnya bantuan dihulurkan kepada komuniti muslim di sana. Sejajar dengan fokus IM yang melihat pada komuniti dan isu terpinggir,” ujarnya.
KJ ditemui pada sidang media dan majlis memperkenalkan barisan ikon yang akan menyertai Misi Kemanusiaan Afrika yang telah diadakan di Red Card Café, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.
Viral
Perlu Dana RM1.2 Juta! Nadzmi Adhwa, Farah Lee, Haze Antara 7 Ikon Ke Afrika Timur Bantu Komuniti Muslim