Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang sedang mempertimbangkan untuk menyertai program Road To Gold (RTG) sebagai mentor dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, namun bukan dalam masa terdekat.
The Pocket Rocketman berkata beliau merancang untuk menyertai jawatankuasa RTG bersama-sama atlet seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David.
"Bagi saya jika saya berada dalam program RTG (sebagai atlet), itu adalah tanggungjawab saya dan saya tidak akan kekal di sana secara percuma, saya perlu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI). Itulah sebabnya saya perlu mengambil sedikit masa untuk memikirkan apakah rancangan seterusnya.
"Saya tidak nampak diri saya menyertai (program sebagai mentor) sekarang, mungkin dalam satu atau dua tahun.
Buat masa ini, saya rasa tidak akan berada di bawah ahli Lembaga Pengarah RTG," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen 'Kita Bagi Jadi' CIMB di Menara CIMB di sini hari ini.
Atlet berusia 36 tahun itu berkata beliau mahu berehat secara fizikal dan mental selepas beraksi dalam acara keirin lelaki akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos lepas, sekali gus mengambil masa sebelum memutuskan hala tujunya.
"Sekarang saya dalam fasa berehat dulu lepas selesai Olimpik baru ini, jadi saya ada hingga akhir tahun ini untuk fikirkan rancangan baharu. KBS dan MSN sentiasa menyokong kerjaya saya dan mereka mahu berbincang mengenai masa depan saya selepas ini.
Kempen Olimpik Paris 2024 Azizulhasni berakhir secara mengejut apabila dia tersingkir dalam saringan pertama acara keirin lelaki kerana memintas derny.
SUMBER: Sinar Harian