Pelakon jelita, Raja Ema, mengakui sudah tidak lagi berminat untuk melakukan prosedur 'tanam benang' pada wajahnya untuk menegangkan kulit muka.
Jelasnya jujur, keputusan untuk melakukan prosedur itu dahulu semata-mata untuk kelihatan cantik dan mudah mendapatkan tawaran berlakon.
“Jadi, dulu saya buat semua itu untuk memudahkan mendapatkan tawaran kerja. Namun, itu semua kisah lama. Kini, benda seperti itu sudah ketinggalan zaman.
“Sekarang, saya sudah berusia 57 tahun. Waktu itu, saya dalam lingkungan 49 tahun dan masih aktif berlakon sepenuh masa. Saya perlu membuat persiapan agar sentiasa kelihatan cantik, sebab itu saya lakukan.
“Tapi sekarang, tak perlu lagi. Kalau pun saya dapat watak utama, pasti saya akan membawa watak ibu-ibu yang memang perlu menonjolkan kedutan. Jadi, tak ada keperluan untuk saya pakai semua itu lagi,” katanya kepada Gempak.
Dalam perkembangan lain, Raja Ema kini sedang sibuk mengusahakan perniagaan acar yang telah bermula sejak tahun 2020.
"Saya sekarang sudah berpindah di Melaka, mula berniaga acar sejak tahun 2020. Saya ni memang minat berniaga, sebelum itu pun saya sering berulang-alik ke Singapura.
"Masa umur 20 tahun dulu, saya ada restoran tapi disebabkan terlalu sibuk berlakon di Indonesia, saya terpaksa jual.
"Inilah masa untuk saya kembangkan semula minat saya. Tidak bermakna saya melupakan dunia seni," tambahnya.
Untuk rekod, pada tahun 2013, Raja Ema membuat kejutan dengan kemunculan semulanya dalam industri hiburan tempatan, mendedahkan bahawa dia telah menjalani rawatan “thread lift” untuk menegangkan kulit wajah.
Kemunculannya ketika itu mendapat pujian ramai kerana kecantikannya yang menyerlah.