Satu rangka manusia ditemui dalam kebun durian di Pulau Betong, Penang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, rangka tersebut ditemui pada pukul 12.35 tengah hari selepas polis menerima panggilan telefon daripada seorang saksi yang melaporkan penemuan tulang manusia di kawasan berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian menemui beberapa tulang di lokasi timbunan tanah bersama satu rangka disyaki manusia.
"Tulang dan rangka terbabit di bawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.
Sazalee berkata, polis masih menunggu keputusan bedah siasat dan laporan forensik bagi siasatan lanjut.