Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 28, berkata, Keith banyak didedahkan dengan ajaran Islam sejak kecil lagi. Malah, beberapa ahli keluarganya juga sudah memeluk Islam.
“Kami jarang bercakap tentang hal ini. Namun, kami berdua sedar tentang hubungan yang berbeza agama. Sebelum hubungan menjadi lebih serius, itu yang kami pernah bincangkan dahulu.
Tambah Riena, dia juga enggan mendesak Keith sebaliknya mendoakan yang terbaik.
Biarpun mereka tidak membincangkan perkara tersebut, Riena berasa kagum dengan usaha Keith untuk mendalami ilmu agama.
“Kadang-kadang dia beritahu ada mendengar khutbah dan akan kongsikan isi ceritanya. Pada mulanya saya pelik, kenapa dengar khutbah hari-hari? Khutbah selalunya pada hari Jumaat.
“Rupa-rupanya, pada dia, setiap ceramah itu adalah khutbah. Saya melihat situasi itu sangat comel. Dia ada inisiatif untuk mendalami agama.
"Baru-baru ini, pada hari Maulidur Rasul, dia bertanya, kebiasaan orang Islam buat apa? Kemudian dia sendiri yang memutuskan untuk bersedekah di masjid,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu pada Jun lalu.
Keith sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun.