Selepas berkecimpung selama 34 tahun dalam dunia penyiaran, personaliti televisyen Ras Adiba Radzi mengumumkan pengundurannya secara rasmi dalam bidang tersebut menerusi satu posting yang di muat naik di Instagram.
Pengurus peribadinya, Ahmad Daniel ketika dihubungi Gempak memberitahu, pengunduran tersebut mempunyai kaitan dengan pelantikannya sebagai seorang Senator.
"Beliau mengundurkan diri kerana pelantikannya sebagai seorang Senator.
"Dengan itu, secara tidak langsung, selepas beliau dapat memberikan fokus dalam memperkasakan golongan orang kelainan upaya," katanya kepada Gempak.
Ras Adiba turut mengakui ia merupakan satu keputusan yang sukar untuk meninggalkan satu bidang yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
"Saya adalah seorang pemberita selamanya dan berat sungguh untuk saya buat keputusan ini. Saya harus tinggalkan kamu aduhai, jiwa saya.
"Dan malam ini (semalam) jam 8 di NTV7, berakhirlah sudah kisah cinta kita apabila dengan perlahan saya cabut keluar mikrofon yang tersemat di kolar jaket dan alat pendengaran dari dalam telinga saya. Kalbu saya teresak menangis kerana inilah pengakhirnya.
"Maaf kerana saya terpaksa berundur bukan kerana tidak sayang tetapi kerana rancangan Illahi sudah tersusun rapi. Esak saya teramat sungguh namun tidak akan mahu saya ucapkan selamat tinggal. Apa mungkin saya akan dirindui?," tulisnya.
Berita Tempatan
"Saya Adalah Seorang Pemberita Selamanya" - Ras Adiba Tinggalkan Dunia Penyiaran Selepas 34 Tahun