Pelakon Atiq Azman mengakui dirinya kini berada dalam fasa bersedia untuk melakukan perubahan dalam hidup, terutamanya dalam aspek tanggungjawab terhadap keluarga.
Jelas Atiq, perubahan yang dilakukan harus datang daripada diri sendiri, bukan sekadar mengikut nasihat orang lain.
“Saya sebenarnya berada dalam fasa bersedia, dan itu adalah salah satu tanggungjawab yang perlu kita tunjukkan kepada keluarga.
“Diri saya sendiri juga menasihati untuk berubah. Jika mahu menutup apa yang pernah ditayangkan dahulu, maka tutuplah kerana itu bergantung kepada diri sendiri.
Atiq berkata demikian ketika menghadiri sidang media Puasa Raya RTM yang berlangsung di Angkasapuri, baru-baru ini.
Dalam pada itu, aktor berusia 25 tahun ini turut mengakui merasakan dirinya seolah-olah sudah sedikit terlewat untuk berkahwin, justeru membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga demi masa depannya.
“Biasanya, pada zaman dahulu, umur 21 atau 22 tahun sudah boleh berkahwin, tetapi saya rasa pada usia 25 tahun, seolah-olah sudah agak lewat. Jadi, saya kahwin sahajalah. Saya berkahwin pun untuk masa depan saya juga,” jelasnya.