Nur Zawanie yang juga jururawat berkata, ketika dia tiba di lokasi kejadian, adiknya itu masih sedar dan boleh bercakap sedikit, namun dilihat mengalami sesak nafas.
“Semasa itu saya sampai, saya memang nampak pelakunya di situ. Si pelaku tidak ada menawarkan apa-apa pertolongan, nak telefon ambulans ke, nak memohon maaf ke, atau nak mengaku, tiada.
“Memang dekat situ ramai yang dengar, saya dan ayah saya dengar dan orang di situ pun dengan yang lelaki itu (pelaku) mengatakan dia polis seperti yang ditularkan. Saya kesal kerana kejadian itu melibatkan seorang pegawai polis,” ujarnya.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif Affendi dengan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila pemandu kereta terbabit tidak berpuas hati dengan mangsa kerana membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Suspek yang seorang pegawai kanan polis itu telah mengejar mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.
Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan berkenaan sebelum kakaknya, Nur Zawanie datang dan memberi rawatan awal kepada adiknya.
Sumber: Kosmo! Online
