Pelakon Kamal Adli tidak menafikan sehingga kini masih trauma untuk menjejakkan kaki ke Singapura.
Bagaimanapun Kamal, 37, memberitahu dirinya bersedia seandainya dipanggil semula ke negara terbabit untuk memberikan keterangan terhadap kes serangannya baru-baru ini.

Jelas Kamal, dia masih ingin mengetahui punca serangan yang mencederakannya hingga meninggalkan kesan trauma sampai sekarang.
“Kalau diberi pilihan saya memang tak mahu pergi ke sana buat sementara ini kerana masih trauma.
“Tapi kalau diperlukan saya akan beri kerjasama. Sebagai mangsa saya memang mahu pelaku itu diadili dengan hukuman setimpal.
“Saya pun nak tanya pada dia kenapa menyerang saya. Saya difahamkan individu terbabit dihantar oleh seseorang yang mempunyai masalah peribadi dengan saya,” katanya.
Kamal berkata kepada Astro Gempak pada pelancaran program terbitan Astro, Mega Spontan 2023 di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.