Penyanyi To'ki mengakui dia pernah tidak menerima sebarang bayaran ketika memberi latihan nyanyian kepada individu yang ingin menuntut ilmu dengannya.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu Hampa itu, dia juga tidak kisah dan tidak meminta-minta sebarang bayaran kepada mana-mana individu yang berminat untuk belajar teknik nyanyian dengannya.
"Kerana saya pernah susah, jadi pada saya tak mengapa ada rezeki lain. Sebab yang datang ini kebanyakan sudah ada asas dalam bidang nyanyian. Soal bayaran ini tak ada masalah sangat," katanya kepada Gempak.
Kata To'ki, sudah tiba masanya dia berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang berminat mendalami ilmu nyanyian.
Tanpa mengira umur dan latar belakang, dia berkata, tiada apa yang perlu 'dilokekkan' bagi memastikan mereka terutama anak muda yang berminat dalam dunia nyanyian dapat dimanfaatkan dengan ilmu yang dikongsi.
"Saya pun dah tua dan tak tahu sampai bila akan hidup jadi dengan ilmu yang sedikit ini biarlah saya kongsi kepada dengan sesiapa yang berminat selagi saya masih hidup.
"Sekurangnya bila saya dah tak ada, ada juga ilmu bermanfaat yang boleh saya kongsikan," katanya.