Siasatan polis mendapati selebriti lelaki yang ditahan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, Selangor bersama dua peket lutsinar disyaki ganja sudah lapan tahun menagih.
Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, soal siasat ke atas lelaki terbabit mendapati dia terbabit dalam penagihan dadah sejak lapan tahun lalu.
"Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro pada Isnin.
Norhizam berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selebriti itu yang pernah menyertai rancangan realiti televisyen direman lima hari bermula semalam.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan selebriti lelaki ditahan di sebuah rumah teres bersama dua peket lutsinar disyaki ganja.
Dia ditahan selepas sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Jenayah IPD Sepang membuat serbuan pada jam 3.10 petang dan menahan suspek berusia 41 tahun itu.
Siasatan polis menemui dua peket lutsinar yang setiap satunya mengandungi leraian disyaki daun ganja anggaran berat keseluruhan 60.3 gram.
Hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadahtetrahydrocannabinol (THC).
Sumber: Harian Metro