“Saya suka lelaki yang mempunyai gigi cantik dan dia mestilah wangi,” jelas pelakon Sherry Ibrahim mengenai antara ciri-ciri lelaki idamannya.
Bagaimanapun, jelas pelakon berusia 41 tahun itu, dia lebih mudah ‘cair’ dan terpaut kepada lelaki yang pandai menjaga dan menyayangi ibu mereka melebihi diri sendiri.
Dia berpandangan bahawa lelaki yang pandai menjaga ibu mereka merupakan lelaki yang ‘limited’ pada masa kini.
“Selain itu, lelaki itu perlu menerima keluarga Sherry dengan baik dan seadanya serta mestilah sedap mata memandang,” kongsinya di laman TikTok pada petang Isnin.
Topik mengenai suami idaman mula diperdebatkan netizen apabila pelakon tersebut dilihat sehingga hari ini masih lagi berseorangan tanpa teman istimewa.
Netizen juga sempat mengusik Sherry untuk mencarikannya jodoh.
Bagaimanapun, Sherry memberitahu bahawa netizen tidak perlu susah-susah membantunya mencari bakal calon.
“Tak payah sibuk-sibuk nak carikan jodoh untuk saya. Saya dah lama single, dah 41 tahun dah pun,” kata Sherry dalam nada gurauan.
Dalam perkongsian petang itu juga, ramai yang mendoakan agar dia menemui pasangan yang didamkan.
Baru-baru ini, pelakon itu turut mendapat perhatian apabila dia menitipkan ucapan kepada Fattah agar pelakon lelaki itu terus kuat dalam menghadapi penceraian.
Untuk rekod, Sherry pernah menjalinkan hubungan cinta bersama Fattah pada 2014 namun berpisah dua tahun kemudian.