Menurut Siti, 46, selagi gencatan senjata belum benar- benar berlaku yang menandakan keamanan diharapkan seluruh dunia tidak memungkinnya untuk ke sana buat masa ini untuk bertemu guru dan pelajar Sekolah Afwa Al-Aafiyah.
“Sekolah itu juga mempunyai beberapa sukarelawan yang banyak membantu melancarkan urusan kerana sepanjang tempoh peperangan ini mereka telah berpindah beberapa kali ke lokasi selamat.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Kontrak Umairah Sebagai Artis Di Bawah Naungan Syarikat Siti Nurhaliza Legacy (SNL).
Yayasan Nurjiwa Terus Bantu
Dalam pada itu, pelantun lagu Biarlah Rahsia itu berkata rancangan untuk membangunkan kembali sekolah tersebut masih belum boleh diteruskan sehingga keadaan benar-benar terkawal.
“Buat masa ini kami di Yayasan Nurjiwa masih lagi meneruskan bantuan kepada penghuni sekolah termasuk keperluan pakaian musim sejuk dan makanan seperti biasa.
“Untuk musim sejuk ini mereka perlukan pakaian tebal dan makanan. Bagaimanapun sekolah masih belum beroperasi sepenuhnya.
“Pengajian masih berjalan seperti biasa di kem sementara. Insya-Allah, kita akan bina semula sekolah itu, tiada masalah,”ujarnya lagi.
Siti yang juga pengasas Yayasan Nurjiwa turut mengagumi semangat penduduk Gaza yang tetap bangkit semula meskipun dalam keadaan sukar.
“Mereka sudah cakap, walau berapa kali pun mereka dibom, mereka tetap akan bangkit dan bangun semula. Kita akan sokong,” tutupnya.
Untuk rekod, Yayasan Nurjiwa aktif dalam membantu insan-insan yang memerlukan malah bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara seperti tertubuhnya Tadika Afwa Al Aafiyah di Gaza, Palestin.