Seorang individu dari Makassar, Sulawesi Selatan yang mengambil upah membawa penumpang menggunakan motor (rider) meraih perhatian netizen selepas menghantar seorang warga emas bersama jenazah cucunya dari hospital ke kediaman mereka.
Menerusi portal berita Tribunnews, penunggang motosikal berkenaan terpaksa menempuh perjalanan sejauh 53 kilometer demi membantu menghantar lelaki yang dikenali sebagai Arsyad itu pulang.
Arsyad memilih untuk menaiki motosikal kerana tidak mempunyai duit yang cukup untuk menyewa kenderaan membawa jenazah kerana harganya yang mahal, sekitar 800,000 rupiah (RM230).
Sayu dan kasihan melihat keadaan Arsyad, rider berkenaan bersetuju dan nekad membantu membawanya pulang ke rumah bersama jenazah cucu kesayangan yang baru meninggal dunia.
Tular mengenai kisah sedih warga emas ini, netizen turut menyuarakan rasa kurang senang dengan perkhidmatan hospital terbabit.
Dalam masa sama, netizen juga menganggap pemerintah di daerah itu tidak menjaga kebajikan masyarakat dengan baik.
Sumber: Tribunnews