Pelakon, Nina KSC mengakui pernah menghafal ayat-ayat suci Al-Quran untuk menjayakan salah satu babak dalam sebuah drama tempatan.
Menurut Nina atau Nina Kho Siew Ching, 33, babak itu menjadi satu cabaran terbesar buatnya memandangkan dia bukan pelakon beragama Islam.
Nina berkata demikian ketika menghadiri majlis tayangan dan sidang media Astro Originals Honey Trap yang berlangsung di TGV Cinemas, KLCC, baru baru ini.
Bagaimanapun, Nina tetap berusaha sebaiknya untuk menghafal ayat suci tersebut dan cuba mendapatkan bantuan daripada kru produksi atau rakan-rakan Muslim di set penggambaran.
“Bukan mudah, tapi saya akan terus berlatih,” jelasnya.
Pada masa sama, pelakon yang popular dengan drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu juga berkongsi dia pernah membintangi sebuah filem yang memerlukan dia bertutur sepenuhnya dalam loghat Kelantan.
“Saya juga pernah buat satu filem yang perlu saya cakap dalam bahasa Kelantan. Memang susah, tapi saya anggap itu sebahagian daripada proses pembelajaran,” kongsinya.
Justeru, Nina percaya sebagai pelakon, seseorang perlu sentiasa bersedia mencabar diri agar kekal relevan dan berdaya saing dalam industri seni tanah air.
“Sebagai seorang pelakon, saya perlu jadi multi-talented supaya saya boleh dapat banyak peluang untuk berlakon dalam pelbagai jenis produksi di Malaysia,” katanya.