Pelakon Fattah Amin memberitahu kehadiran keluarganya di majlis usrah yang turut dihadiri penyanyi Amira Othman baru-baru ini hanyalah satu kebetulan sahaja.
Menurut pelakon berusia 35 tahun ini, pertemuan antara ibu dan adik-beradik perempuannya dengan Amira di majlis tersebut bukan diaturkan oleh seseorang.
“Saya ada bertanyakan mengenai usrah dan kelas agama itu kepada keluarga saya… sebenarnya benda itu kebetulan. Keluarga saya pun tak tahu, tiba-tiba kak Hanum jemput datang untuk datang usrah itu.
“Sebab pernah bekerjasama dan dia kenal keluarga saya. Jadi, dia jemput datang ke majlis itu dan kebetulan Amira juga dijemput untuk datang juga.
“Itu yang saya tahu dan tak ada pun macam orang tolong arrange ke,” kata Fattah kepada Gempak.
Anggap gurauan
Bertanya mengenai rakan selebriti gemar menyakat dia dengan Amira, Fattah bagaimanapun mengambil perkara itu sekadar gurauan antara mereka sahaja.
“Saya memang anggap itu (rakan selebriti kenenkan dengan Amira) sebagai gurauan. Biasalah, kami rakan artis selalu bergurau sebab nak menceriakan suasana.
“Kita sangat selesa bergurau dengan satu sama lain dan bukan bila berjumpa mereka saja tapi bila dekat Jakel pun abang-abang Senario pun suka kacau. Maksudnya kita dah biasa dengan perkara itu.
“Mana-mana yang baik kita aminkan, yang buruk itu kita minta jauhkan,” ujarnya.
Sebelum ini tular video memperlihatkan keluarga Fattah menghadiri sebuah majlis usrah yang turut dihadiri oleh Amira baru-baru ini dan ia mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa teruja melihat kemesraan mereka.
Malah rakan-rakan selebriti seperti Betty Rahman juga ada memuat naik video yang memperlihatkan dia menyakat Amira dengan ibu Fattah.