Perkongsian syarikat jenama kamping perap di TikTok yang mendedahkan perbualan mereka menerusi grup WhatsApp dengan pelakon Fattah Amin menarik perhatian netizen.
Menerusi paparan skrin mesej tersebut, Fattah menolak wang komisen hasil dia menjual produk syarikat itu di siaran langsung (live) TikTok baru-baru ini.
Sebaliknya pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu meminta syarikat tersebut untuk menginfakkan kesemua komisen yang diterimanya kepada golongan yang memerlukan.
“Alhamdulillah, terima kasih bos. Cuma komisen itu nak minta tolong team pak mat uruskan boleh? Infak kepada orang yang perlukan,” tulis Fattah.
Menerusi kapsyen di perkongsian, pihak syarikat itu berbangga dengan bekas suami kepada aktres Nur Fazura tersebut yang sentiasa mempercayai rezekinya.
Bangga dengan Fattah
“Kami kecewa sebab dia tolak komisen dan tak ambil satu sen atas penat lelah menjual kambing. Tapi kami bangga dia yakin dengan rezeki yang telah ditakdirkan.
“Kami minta izin untuk kongsi buat inspirasi rakyat Malaysia. Tangan yang memberi adalah lebih baik dari yang menerima. Semoga dibalas segala kebaikan Fattah Amin.
Rata-rata netizen di ruang komen memuji sikap Fattah Amin yang tidak mahu mengambil wang komisen malah sanggup memberikannya kepada golongan yang lebih memerlukan.