Papan iklan digital gergasi di pintu masuk pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur menjadi saksi kepada kejayaan pertama filem Rompak yang diterbitkan dengan memanfaatkan teknologi baru NFT (Non-Fungible Token).
Disaksikan ribuan pengunjung, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Moshed Tech Sdn Bhd, Moshed Mohamad, sudah tiba masanya NFT diterima dan diguna pakai di negara kita.
"Dalam erti kata mudah, NFT ini boleh difahami melalui situasi sebegini. Bayangkan ada sebuah karya seni digital yang mempunyai pesona dan tarikan tersendiri tiba-tiba tular dan menjadi perhatian ramai.
"Tapi kita tahu, karya digital sebegitu mudah saja 'dicuri' sesiapa dengan kepesatan teknologi sekarang. Ada saja pihak yang sewenang-wenang 'merompak' tanpa memberikan kredit atau maklumat sumber diperolehi.
"Jadi melalui penggunaan NFT itu, karya seni ini boleh dilindungi dan disifatkan sebagai aset yang ada nilai tersendiri," katanya ketika majlis tayangan perdana filem Rompak di Dadi Cinema, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Filem yang dibintangi Zizan Razak, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, MK K-Clique, Azhar Sulaiman, Ezlyyn, Niezam Zaidi, Siti Khadijah Halim dan Chubb E ini bakal menjadi karya filem pertama di Asia Tenggara yang memanfaatkan teknologi NFT.

Rompak diterbitkan secara bersama antara portal kewangan Intraday.my dengan syarikat produksi 4ward Pictures ini mengangkat tema isu penipuan dan ‘scam’ yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini.
Filem Rompak akan ditayangkan di Astro First bermula 16 Jun 2022.
.jpeg)
Produksi filem Rompak terbitan Intraday.my menjadi yang pertama memanfaatkan NFT dengan utiliti khas kepada pemiliknya dan bukti pemilikan NFT ini disimpan di dalam rantaian blok, menjadikannya 'tidak boleh diubah', unik dan mempunyai nilai yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
Tambah Moshed, NFT membolehkan pelbagai masalah berbangkit diselesaikan seperti isu royalti.
"Kita mahu mencetuskan revolusi baharu buat pengkarya seni untuk mempelbagaikan pendapatan daripada karya filem dihasilkan.
"NFT diperkenalkan juga untuk mendidik orang ramai sebagai 'financial market media' untuk melakukan benda yang diterima ramai. Kita mahu mendidik mereka yang menonton filem ini untuk sertai NFT.
"Kita mahu wujudkan komuniti ini dengan mengajar dan mendedahkan mereka fasal NFT sekitar tiga keempat bulan. Bukan sekadar 'melabur' beli NFT begitu saja, tapi kita mahu mereka memahami ilmu dan kepentingannya. Kita mulakan dengan projek filem ini sebagai mukadimah. Kita sasar 50,000 komuniti NFT ini di Malaysia dapat diraih dalam masa terpantas," katanya.