Polis menahan seorang kakitangan bank yang disyaki terbabit dalam kes kehilangan wang daripada empat akaun simpanan tetap membabitkan kerugian RM24.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis lepas dan polis telah merampas tiga unit telefon bimbit, lapan kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM4,400 serta sebuah komputer riba.
"Siasatan setakat ini mendedahkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan.
"Ini memandangkan urusan tersebut hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan.
Ramly berkata semua pemilik akaun menafikan bahawa mereka tahu tentang perkara itu dan tidak pernah ke Kota Kinabalu untuk membuat pengeluaran.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan serta mengenal pasti beberapa individu lain yang terbabit.

Kes kehilangan wang dalam bank merupakan kisah yang sering kita dengar dan Astro Originals pernah mengangkat kisah kecurian wang simpanan yang melibatkan kakitangan bank menerusi drama bersiri One Cent Thief.
Bakal muncul dengan musim kedua, saksikan dahulu One Cent Thief musim pertama menerusi On Demand.
Sumber: Bernama menerusi Astro Awani