Pelakon Intan Najuwa meluahkan rasa sedih di Instagram Story selepas melihat video tular mengenai seorang pakcik OKU yang dipukul di tapak jualan pasar tani di Chukai, Terengganu.
Dalam perkongsiannya, aktres itu menyatakan rasa simpati terhadap pakcik tersebut walaupun lelaki itu dianggap bersalah.
Dia juga menegaskan tindakan individu yang memukul lelaki OKU itu menunjukkan ketiadaan sifat perikemanusiaan kerana mereka sanggup menendang dan menyeretnya tanpa sedikitpun rasa kasihan.
“Ya Allah, sakit dada aku tengok video ni. Teringat dekat ayah sendiri.
Bagaimanapun, Intan turut meluahkan rasa kecewa terhadap individu-individu yang terlibat dalam insiden tersebut.
Pada masa sama, dia juga menyatakan keyakinannya terhadap keadilan Allah dan berharap agar pelaku-pelaku tersebut mendapat balasan setimpal atas perbuatan mereka.
“Tak apa, Allah Maha Adil. Semoga yang pukul pakcik ni semua akan dapat balasan yang setimpal. Sumbat semua dalam lokap.
“Yang pukul ni semua terpaling hebat. Dengan makcik mulut puaka tu semua sekali, semoga Allah membalas balasan dekat korang semua. Amin,” katanya.
Pada Jumaat lalu, tular satu video di media sosial merakamkan seorang lelaki OKU dipukul beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu.
Dalam rakaman video tersebut, mangsa dilihat diseret di atas jalan serta ditendang di bahagian badan dan kepala mengakibatkan kecederaan pada muka.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai jualan di tapak pasar tani berkenaan.
Susulan kejadian, pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu dan siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.